Bercuti Tanpa Lara, Misi Tambah Zuriat. Doakan Mereka

Loading...

Sudah menjadi satu kemestian bagi pasangan artis popular Awal Ashaari dan Scha Al Yahya bercuti ke luar negara setiap hujung tahun.

Biarpun mengunjungi destinasi sama iaitu London dan Paris, lokasi dilawati berbeza saban tahun. Ia sekali gus menjadikan musim percutian Awal dan Scha lebih indah daripada biasa.

Menariknya, edisi percutian kali ini ibarat bulan madu Awal dan Scha kerana tidak membawa permata hati kesayangan mereka, Lara Alana, 4.

Awal berkata, dia mahu menikmati setiap detik indah bersama isteri tercinta selain ingin cuba mendapatkan adik untuk Lara.

Kali ini memang tidak bawa Lara sebab saya nak luangkan waktu bersama isteri. Pendek kata, nak bulan madu. Lagipun, Lara ada percutian sendiri ke Jepun beberapa hari selepas kami pulang dari Eropah. Jadi, saya tidak mahu dia keletihan.

Pada masa sama, percutian ke Eropah ini saya dan isteri sudah rancang lama sebelum dapat tawaran bercuti ke Jepun. Jadi, kami tidak berasa ralat meninggalkan anak. Sekurang-kurangnya masih ada waktu bercuti bersama.

Selain itu, saya dan isteri juga ada perancangan tambah zuriat. Kami hanya mencuba, selebihnya Allah tentukan. Kalau ada rezeki, adalah. Saya tidak boleh kata ia menjadi, kerana ini semua berbalik kepada rezeki. Jadi, doakan saja,” katanya.

Menurut Awal yang juga bekas pengacara Melodi, sepanjang 10 hari di sana, dia dan isteri menghubungi anak mereka setiap hari.

Saya memang tetapkan percutian ini 10 hari saja. Kalau lebih, nanti jadi terlalu rindu pula dengan Lara. Tempoh ini sudah memadai. Setiap hari kami akan menghubungi Lara secara ‘Facetime’. Malah pembantu juga menghantar gambar Lara setiap hari.

Cuma, satu perangai Lara dia akan merajuk apabila lebih tiga hari tidak melihat kami. Kalau kami menghubunginya, dia buat-buat tidak mahu bercakap. Dia sudah faham setiap kali kena tinggal,” katanya.

Berkongsi mengenai percutian itu, Awal berkata dia dan isteri lebih banyak menghabiskan waktu untuk berehat dan mengunjungi tempat makan baru.

Malah, pasangan serasi itu juga sempat berkunjung ke Amsterdam selama dua hari meski ia perancangan saat akhir.

Percutian kali ini memang masa untuk bersantai. Biarpun berada di negara sama, aktiviti yang kami lakukan berbeza. Isteri rajin teroka tempat baru terutama restoran makanan halal. Mana yang belum pergi sebelum ini, kami pergi.

Kemudian, sempat juga ke Amsterdam. Walaupun ia tidak ada dalam senarai awal kami, ia tetap menyeronokkan. Dua hari memang tak puas memandangkan ini kali pertama kami ke sana,” katanya.

Beban nilai ringgit jatuh

Awal turut berkongsi, keadaan nilai ringgit yang tidak menentu sedikit sebanyak memberikan kesan kepada percutian mereka.

Tidak dinafikan, dalam pada ramai yang kata ekonomi merudum ramai juga rakyat Malaysia bercuti di luar negara. Bagi saya ini pilihan masing-masing. Macam saya dan isteri, ia lebih kepada hadiah untuk diri selepas penat bekerja sepanjang tahun.

Cuma, apabila nilai ringgit jatuh, apa yang kita beli pun terasa mahal. Kami selalu bawa duit dalam jumlah sama. Kalau dulu, boleh dapat banyak barang, sekarang tidak. Begitu juga kalau makan.

Harga yang dibayar seperti makan di tempat mewah.

“Kami juga selalu menginap di hotel sama. Juga terasa kesannya berbanding dahulu. Namun, saya dan isteri tutup mata saja kerana percutian seperti ini hanya setahun sekali,” katanya.

Disebabkan itu, sebaik kembali ke tanah air, dia dan isteri perlu fokus bekerja semula biarpun orang lain sudah melakukannya sejak awal tahun.

“Sekarang bukan waktu untuk bersantai lagi. Masa bercuti sudah habis dan kena lipat gandakan kerja. Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada.

Sudah ada beberapa tawaran menanti.

“Biarpun sudah tidak mengacarakan Melodi, saya dapat tawaran mengacarakan beberapa program. Insya-Allah, kalau sudah ada kepastian saya akan berkongsi dengan semua,” katanya.

Selain pengacaraan, Awal juga teruja untuk kembali berlakon selepas lima tahun meninggalkan bidang itu.

Awal bakal terbabit dalam drama berbentuk masakan sebanyak 13 episod terbitan ntv7.

Saya rasa gementar untuk kembali berlakon. Maklumlah, agak lama juga tidak ke lokasi penggambaran. Insya-Allah, penggambaran akan bermula pada 22 Januari ini. Harap ini menjadi permulaan baik untuk saya.

Kalau dulu saya tidak berlakon kerana mahu fokus mengacara, keluarga dan bisnes. Sekarang, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya.

Awal tidak ketinggalan memaklumkan dia ditawarkan membintangi drama 100 episod terbitan Global Station Sdn Bhd.

Sumber : sayangawak.com

Loading...