Ini Nafkah yang Sepatutnya Suami bagi Setiap Bulan, Kalau Isteri tak Halalkan , Suami Berdosa Besar !!

Loading...

TURUTAN NAFKAH SUAMI

Dalam pemberian nafkah, seorang suami hendaklah mendahulukan isteri dan anak-anak dari orang lain (termasuk ibu-bapa).

Turutan nafkah adalah seperti berikut;

1) Diri sendiri
2) Isteri
3) Anak
4) Bapa
5) Ibu
6) Cucu
7) Datuk
8) Saudara
9) Ahli-ahli keluarga berikutnya.

Turutan ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang menegaskan; “Mulailah dengan diri kamu, bersedekahlah kepada diri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk isteri kamu. Jika ada lebihan, maka untuk ahli keluarga kamu. Jika ada lebihan lagi, maka untuk begini dan begini; yakni untuk orang di hadapan kamu, di kanan dan kiri kamu” (Riwayat Imam Muslim dan an-Nasai dari Jabir r.a.. al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 46).

Berkata Imam an-Nawawi mengulas hadis ini; di antara kesimpulan dari hadis ini ialah; hendaklah pemberian nafkah dimulakan mengikut tertib yang tersebut (dalam hadis). (Syarah Soheh Muslim, juz 7, Kitab az-Zakah, bab al-Ibtida’ Fi an-Nafaqah Bin-Nafsi Tsumma Ahlihi Tsumma al-Qarabah).

Perlu disebut juga di sini bahawa nafkah untuk isteri wajib diberikan oleh suami sekalipun isteri kaya dan berada. Suami yang gagal memberi nafkah sewajarnya kepada isterinya -mengikut kemampuannya- ia dianggap berhutang dengan isterinya kecualilah jika isteri menggugurkan haknya dengan kerelaannya sendiri. Begitu juga, isteri boleh menuntut fasakh di atas kegagalan suaminya memberi nafkah.

Adapun nafkah kepada orang lain selain isteri, ia tidak wajib melainkan apabila memenuhi dua syarat;

Mereka adalah miskin, tidak memiliki harta dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Jika mereka mempunyai harta atau memiliki sumber pendapatan sendiri, tidaklah wajib lagi ia menyara mereka. Namun digalakkan ia meneruskan pemberiannya kepada mereka untuk mengekal kasih sayang dan silaturrahim.
Ia mempunyai kemampuan untuk menanggung mereka; sama ada dengan hartanya atau dengan sumber pendapatannya. Kemampuan ini merangkumi kos saraan untuk diri sendiri dan isteri. Jika ada lebihan (setelah ditolak keperluan diri dan isteri), barulah ia wajib menyara ahli-ahli keluarga yang lain.

Merujuk kepada soalan di atas, tidak harus suami mengabaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak dengan alasan ingin membantu ibu-bapa di kampung kerana menafkahi isteri dan anak-anak adalah wajib. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah darinya, ia hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Itupun jika ia mampu menampung semua mereka. Jika tidak, hendaklah ia mendahulukan isteri dan anak-anak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi.
2. Manar as-Sabil, Ibnu Dhuyan
Kredit: @keluargasihat.com
Sumber: Sahabat Mahkamah Syariah

Adakah Kaki Wanita Itu Aurat? Ini Penjelasannya.. Jangan Ambil Ringan!

 

.

Soalan:

Adakah bahagian kaki wanita itu aurat? Saya sering terlihat perempuan yang tidak memakai sarung kaki, bahkan ada juga yang solat tanpa memakai sarung kaki. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Permasalahan mengenai sama ada kaki wanita itu aurat ataupun tidak adalah perkara khilaf yang berlaku dikalangan para ulama. Secara umumnya terdapat dua pendapat di dalam permasalahan ini, iaitu:

Pertama: Kaki wanita itu adalah aurat

Ini adalah pendapat jumhur para ulama dari mazhab Maliki, Syafi’e dan ianya juga adalah pendapat mazhab Hanbali.

Kedua: Kaki wanita itu bukanlah aurat

Ini adalah pendapat muktamad dari kalangan mazhab Hanafi dan ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari mazhab Syafi’e dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.

Perbincangan Pendapat

Pandangan jumhur yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat berdasarkan sebuah hadith riwayat Umm Salamah R.Anha yang mana pernah bertanyakan kepada Rasulullah SAW:

أَتُصَلِّي الْمَرْأَةُ فِي دِرْعٍ وَخِمَارٍ لَيْسَ عَلَيْهَا إِزَارٌ قَالَ ‏ ‏ إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا

Maksudnya: Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan). Jawab Nabi SAW: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki”.

Riwayat Abu Daud (640)

Al-Imam al-Khattabi Rahimahullah, mengenai hadith di atas menyebutkan:

“Khabar ini menjadi dalil ke atas sahihnya pendapat yang mengatakan tidak sah solat sekiranya terdedah bahagian badan melainkan sekiranya pakaian itu labuh, besar sehingga menutupi bahagian zahir kedua kaki. Ini menjadikan syarat sah solat itu adalah dengan tidak mendedahkan sesuatupun dari tubuh badannya”.

[Lihat Ma’alim al-Sunan. Al-Matba’ah al-‘Ilmiyyah, 1/180]

Seterusnya, al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan di dalam kitabnya al-Mughni:

“dan telah berkata Malik, al-Auza’ie dan al-Syafi’e bahawa keseluruhan wanita itu adalah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangan, dan apa selainnya wajib ditutup di dalam solat”

[Lihat al-Mughni, 1/431]

Adapun pendapat kedua yang mengatakan bahawa kaki wanita itu bukan aurat kerana kedua kaki secara kebiasaannya akan terdedah dalam melakukan sesuatu tugasan dan sebagainya.

Adapun hadith Umm Salamah R.Anha yang menjadi dalil mengatakan bahawa kaki wanita itu aurat dijawab dengan mengatakan bahawa hadith tersebut adalah mauquf semata-mata. Ini dapat difahami melalui komentar al-Imam Abu Daud Rahimahullah sendiri di akhir hadith tersebut yang mengatakan bahawa ramai yang meriwayatkannya tidak menyebut nama Nabi SAW sebaliknya meriwayatkan terus dari Umm Salamah R.Anha. Disebabkan oleh itu, Syeikh Nasiruddin Al-Albaani menghukum hadith tersebut sebagai dhoif (lemah) kerana ianya adalah riwayat yang mauquf (terhenti pada Sahabat).

Pendapat kedua ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab Hanafi. Ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari kalangan Syafi’eyyah dan juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dari kalangan Hanabilah.

Ini seperti mana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn ‘Abidin yang mana menyebutkan:

“Sesungguhnya kedua kaki itu bukanlah aurat pada pendapat yang muktamad.”

[Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/369]

Al-Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan juga di dalam kitabnya, al-Majmu’:

“Telah berkata Abu Hanifah, al-Thauri dan al-Muzani bahawa kaki wanita itu juga bukanlah aurat…”

[Lihat al-Majmu’, 3/169]

Begitu juga al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni ada menyebutkan:

“dan telah berkata Abu Hanifah, kedua kaki bukanlah aurat kerana keduanya adalah sesuatu yang pada kebiasaannya terzahir (terlihat) seperti muka…”

[Lihat al-Mughni (1/430-431]

Kesimpulan

Mengetahui bahawa permasalahan ini adalah khilaf, kami berpendapat bahawa pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat lebih selamat, berhati-hati dan keluar dari khilaf.

Oleh itu, tidak sah sekiranya seorang wanita itu solat jika terdedah bahagian kakinya melainkan ditutup dengan kain yang labuh ataupun dengan memakai sarung kaki.

Namun, sekiranya kita ada terlihat wanita yang solat tanpa memakai sarung kaki dan terdedah bahagian kakinya, boleh jadi mereka itu jahil ataupun berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu bukanlah aurat. Tegur dan tanyalah dengan cara yang berhemah agar tidak meninggalkan persepsi yang negatif kepada saudara seislam kita.

Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

11 Oktober 2016 bersamaan 10 Muharram 1438 H.

[1] Bahagian kaki yang menjadi perbincangan di dalam isu ini bukanlah kaki secara keseluruhannya yang melibatkan bahagian peha dan betis. Adapun yang dibincangkan di sini adalah bahagian zahir kaki yang nampak setelah menutup aurat seperti bahagian di bawah buku lali dan juga tapak kaki.

Loading...