‘Aku boleh mati kena bunuh’ – Mangsa dera kerap mengadu dipukul bapa kandung

Loading...

“LAMA-lama nanti aku mati kena bunuh,” itu antara luahan Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, kepada rakannya.

Aina Nabihah adalah kanak-kanak yang maut dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya di rumah keluarganya di Taman Vista Jaya, Lukut, malam tadi.

Seorang jiran yang enggan dikenali mendakwa, anaknya yang juga rakan mangsa, mendedahkan kanak-kanak itu kerap mengadu didera bapanya sebelum ini.

“Dia beritahu anak saya, selalu kena pukul malah pernah dibaling kerusi oleh bapanya itu sehingga kerusi itu patah dan dia cedera. Dia juga beritahu kalau keadaan berterusan, dia boleh mati,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini, hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan mangsa meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), 12.30 tengah malam.

Bedah siasat mendapati kanak-kanak terbabit cedera pada buah pinggang, selain usus terkoyak dan patah tulang rusuk, dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Sementara itu, seorang jiran lain, mendakwa kanak-kanak itu beberapa kali dilihat lebam pada muka, terutama pada bahagian mata.

“Mangsa agak pendiam dan jarang keluar rumah tetapi semua orang di sini tahu dia adalah kanak-kanak yang baik. Apabila saya bertanya mengenai kecederaan sebelum ini, dia memberi alasan terjatuh daripada basikal.

“Kami juga kerap mendengar suara bapanya marah-marah di dalam rumah itu dan disusuli bunyi seperti pukulan. Bapanya memang garang, tetapi mempunyai hubungan baik dengan jiran dan pernah memberitahu tidak sentuh anak-anak ketika marah,” katanya.

Jiran berkenaan turut berkata, tidak pernah mendengar kanak-kanak itu bercerita perkara buruk mengenai bapanya yang juga seorang anggota tentera berpangkat sarjan.

Ditanya mengenai kejadian malam tadi, dia berkata, mereka tidak menyedari bunyi mencurigakan, namun mengakui mendengar suara bapanya marah dengan kuat dari dalam rumah itu pada tengah hari, Ahad lalu.

Sumber : terengganu times

Loading...